Friday 15 July 2011

Irma Mula Bertudung, Kerja TV AlHijrah

PENAMPILAN Irma Hasmie yang kini bertudung bukanlah menjadi cerita baru lagi. Dia tidak pula mencanang diri dengan perubahan yang dilakukan itu kerana setiap dilakukan adalah atas kerelaan dan keikhlasannya.

Malahan dengan melihat perubahan pada penampilannya, sudah cukup untuk menceritakan mengenai sendirinya. Bagaimanapun, kemunculan dengan imej terbaru itu masih tidak dapat mengelakkan diri Irma daripada gosip apabila baru-baru ini dia pernah dikaitkan dengan Sharnaaz Ahmad. Pengalaman dalam dunia seni menjadikan Irma tidak cepat melatah apabila menghadapi desas-desus seperti itu. Baginya, itulah lumrah dalam dunia hiburan.

“Jika betul ada, saya akan bagi tahu. Kalau kita layan khabar angin yang kita sendiri tidak tahu betul atau salah tapi kalau dilayan ia akan jadi fitnah pula,” jelas Irma Hasmie, yang masih mengelak untuk menjawab apabila ditanya ura-ura mengenai dirinya yang dilihat bersama, Sharnaaz Ahmad, ketika keluar bersama-sama di sebuah pusat beli-belah di pinggir ibu kota. Irma yang ayu bertudung dilihat lebih berhati-hati mengalun bicara dan setiap percakapannya kini dilihat lebih menjurus kepada dakwah dan bicara kerohanian. Katanya, apa yang berada di kotak fikirannya kini hanyalah tumpuan pada kerjaya dan dia mengaku masih menyandang gelaran ‘single’ sehingga kini.

“Saya perempuan, takkanlah saya pula yang kena keluar mencari lelaki. Tidak manislah begitu. Kalaupun mahu mencari pasangan lebih baik menggunakan orang tengah supaya ia lebih sopan,” katanya yang turut membintangi drama Alauddin dengan memegang peranan sebagai isteri kedua kepada Alauddin yang bukan berdarah raja. Menurutnya lagi, dia memang tidak menolak takdir untuk hidup berpasangan tetapi buat masa ini, dirinya semakin tenang dan mahu terus kekal dengan perubahan yang dilakukannya kini.

“Saya mahu mencari akhirat pula. Kadangkala saya terfikir kenapa tidak sedar dari awal lagi? Kenapa ketika usia saya 29 tahun, baru saya berubah? Tapi saya tetap bersyukur kerana Tuhan buka hati saya,” kata Irma yang mahu menjadikan bidang lakonan sebagai medium untuk berdakwah ke jalan yang Esa
.
Tidak putus-putus mendapat sokongan daripada peminat sehingga dia dibekalkan pelbagai doa keberkatan daripada peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya.

Malahan, Irma tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan TV Al Hijrah kerana dunia penyiaran terbaru itu mempunyai garis panduan yang amat sesuai dengan dirinya.
“Saya senang bekerja di bawah TV Al Hijrah dan setakat ini tidak ada masalah bagi saya yang bertudung untuk berada di dalam bidang seni kerana apabila saya ditawarkan watak, semuanya bersesuaian dan mungkin mereka sudah tahu identiti saya kini

“Garis panduan TV Al Hijrah sendiri menetapkan pemakaian tudung dan mereka yang bukan muhrim tidak boleh bersentuhan,” katanya ketika ditanya perubahan dirinya itu tidakkah mengganggu perjalanannya sebagai anak seni atau menyekat rezekinya sebagai artis. Irma yang sentiasa memohon kepada Illahi supaya perubahan yang berlaku ke atas dirinya itu tidak hanya separuh jalan, turut melihat perubahan yang dilakukan itu lebih merapatkan dirinya dengan peminat.

“Ada juga peminat yang beri saya doa-doa yang boleh saya hafal untuk kesejahteraan hidup,” katanya yang melihat perubahan diri sebagai sesuatu yang cukup positif untuk dilakukan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More